Cabaran Masalah Kewangan

~ Bismillah ~

Assalamualaikum w.b.t

~ sekadar perkongsian cerita dari hamba Allah yang mahu namanya dirahsiakan ~ InsyaAllah

teringat kenangan dulu-dulu bila ayah ambil di sekolah. Ini ialah antara soalan cepumas yang paling saya geruni :)

"tadi kat sekolah belajar apa?"
"kat sekolah tadi ada solat Zohor/Asar tak?"
"kenapa susah sangat nak lulus Bahasa Arab?"

ada juga soalan seperti ini 
"tadi kat sekolah makan tak?" 


Aik? Tak boleh ke makan kat sekolah? Soalan yang terakhir itu khas untuk sekolah agama a.k.a sekolah petang. Oleh kerana 'sepatutnya' sudah makan di rumah (especially kalau kelas jam 3.30 petang), ayah akan persoalkan kenapa belanja duit untuk beli makanan lagi? Hermm.. ayah saya memang menitikberatkan wang. :) love it

Dahulu, semasa umur dalam lingkungan darjah 3 (sebab time tu masih pakai skirt paras lutut), emak, ayah, abang dan saya berjalan-jalan ke zoo. Seingat saya jauh zoo itu, mungkin kami singgah sebentar dari lawatan kami di tempat lain. Di dalam zoo itu ada kedai makanan segera. Mungkin MarryBrown. Sudah tidak dapat diingati. Saya duduk di sebelah ayah. Ayah baru sahaja menyimpan dompetnya. Kemudian ayah berbisik kepada mak, "hanya tinggal dua ringgit". Sebagai budak kecil yang masih mentah, saya rasa di situ lah permulaan saya tidak meminta apa-apa dari emak dan ayah saya. Jika ada adik-beradik yang mahu membeli, saya akan dahulukan mereka. 

Semasa menunggu keputusan SPM dan STPM, saya bekerja mencari sumber pendapatan. Gajinya tidaklah tinggi, hanya RM500 hingga RM700 sebulan. Dengan gaji itulah saya mengisi minyak kereta emak dan ayah untuk pergi kerja. Dengan gaji itu saya membelikan barangan keperluan adik sekolah. Siap berpesan kepada adik-adik, kalau mahukan benda, bagitahu kepada saya bukan kepada emak dan ayah. Selalu juga saya menambah barang dapur untuk menjamu keluarga saya dengan hasil kerja saya. Setiap kali gaji pasti saya akan membelanjan keluarga makan di luar. 

Sebab itu. saya jadi apa saya sekarang ini. :)

Saya tidak akan minta wang dari emak dan ayah melainkan saya tidak dapat menyelesaikan masalah kewangan itu sendiri. Contohnya di UNIMAS, untuk sem ini PTPTN tidak memotong terus yuran kolej dan saya baru tahu perkara ini minggu lepas. Secara terpaksanya saya terpaksa meminta dari emak dan ayah, itupun setelah 2 3 hari berfikir dan merencana. I am not proud of it. Hari ini, baki duit hingga 16 Januari adalah RM30. Pada awalnya ada berbaki RM160+, namun lepaskan dahulu membeli tiket kapal terbang. Kalau tidak pasti terpaksa meminta lagi dengan keluarga. Walauapapun, saya tetap bersyukur, RM20 masih boleh beli 4 packet mi segera bersamaan bekalan makan 20 hari. Biskut pun ada lagi. :) RM10 pula untuk servis pengantaran ke airport.

Didikan keluarga saya pun mengajar saya berfikir untuk orang sekeliling dahulu. Saya tidak akan menuntut hutang dari sesiapa. Walaupun hutang itu boleh membantu saya. Saya belajar, jika kita bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang, InsyaAllah rezeki itu akan berkat dan kita sentiasa berasa cukup. Alhamdulillah. Bagaimana kita mahu meminta hutang sedangkan mungkin mereka lagi memerlukan. Halalkan sahaja sekiranya mereka terlupa membayar. InsyaAllah berkat :) 

Saya juga sebolehnya elak memberitahu masalah kewangan kepada rakan sekeliling. Meminta bantuan mereka jauh sekali. Hanya sekiranya menemankan kawan ke kiosk membeli makanan, pasti akan didesak untuk membeli sama, segan makan seorang katanya. Untuk mengatakan saya tidak berduit, sama sekali tidak kerana bagi saya itu akan menjatuhkan nama keluarga saya. Nama emak dan ayah saya. Lalu saya membeli makanan yang paling murah seperti karipap 3 biji dengan harga RM1. 3 biji karipap itu dibahagikan kepada sarapan, tengah hari dan malam, Kalau kawan ajak beli ketika petang, boleh la makan 2 biji ketika itu, satu lagi untuk malam. Alhamdulillah :) Saya juga guna alasan mahu berdiet, mahu kurus, bagi mengelakkan membeli makanan.

Banyak kali kawan-kawan tegur kerana muka selalu kelihatan pucat dan badan tidak bermaya. Hanya mampu memberi alasan penat dan tidak cukup tidur. Pernah juga saya memberi alasan lupa memakai make-up dan lipstick. Hahahahaa.. 

Kalau ada tugasan official yang memerlukan saya mengeluarkan modal seperti menghantar assignment terpaksa saya menggunakan baki duit yang tinggal. Maksudnya tidak membeli karipap untuk beberapa hari. Saya percaya, biarkan saja saya yang susah, jangan saya menjadi beban manusia sekeliling. 

Saya juga bersyukur mempunyai roommate yang tidak berkira dengan makanan dan duit. Mungkin dia perasan dengan keadaan saya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa bersyukurnya saya mendapat teman seperti itu. Dia selalu berkongsi makanan dengan saya. Walaupun saya langsung tidak membayar apa-apa. Alhamdulillah. :) 

Alhamdulillah juga saya mempunyai wang cagaran menyewa loker di CAIS berjumlah RM50. Siapa kata RM50 itu rendah nilainya. Bagi mereka yang memerlukan, bagaikan bulan jatuh ke riba. :) Semoga urusan menebus semula wang cagaran itu dipermudahkan sebab sudah merancang memasak untuk kawan-kawan sebelum pulang ke semenanjung. InsyaAllah dipermudahkan.

Saya pernah terbaca status yang ditulis oleh sahabat saya ini (tuan punya blog ni la.. haha)

"... lebih baik berdoa dikurniakan hati yang tabah menghadapi dugaan daripada meminta dipermudahkan dugaan.." 

dari dugaanlah kita belajar untuk menghadapi hidup kita. Mengukur jati diri dan keimanan kita. Dugaan juga ialah tanda Tuhan sayang kepada kita. Melatih diri kita bersyukur, redha dan juga boleh kurus. Boleh niat puasa sunat terus daripada berlapar. :) :) :)

Sekarang ini saya hanya ada duit syiling yang mungkin tidak sampai RM1 berterabur dalam beg saya. RM30 masih belum dikeluarkan dari bank kerana mesin ATM tiada matawang RM10. Perlu tunggu seminggu dua mungkin untuk menunggu mesin ATM di update. InsyaAllah jika ada rezeki, sehari dua ini boleh la tu nak keluarkan duit. Amin. :) :)

Mungkin perkongsian cerita ini kedengaran poyo dan seperti menunjuk-nunjuk. Tapi niat saya hanya mahu berkongsi. Tidak meminta wang dari keluarga. Saya bangga. Inilah saya. Didikan keluarga saya. Berjaya melatih saya mementingkan kepentingan orang lain dahulu sebelum diri sendiri. Itu kepuasan sebenar saya. 

Ya saya tahu. Saya perlu belajar untuk mengurus kewangan saya dengan lebih cermat. InsyaAllah. 

Terima kasih kepada Syafiqah sebab benarkan saya bercerita di sini. Terima kasih yunk ;) Love u much. Cukuplah itu menangis yer.

Sekian, Assalamualaikum wbt


Isnin / 15 Disember 2014 / 3.10 petang
Fakulti Sains Sosial, UNIMAS






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...