BUTA, PEKAK, LUMPUH

CINTA KEPADA ALLAH

Syeikh Abdul Qadir Jailani lahir hasil dari percantuman benih Abu Saleh Janghidost dengan Fatimah. Abu Saleh adalah seorang pemuda yang sangat cinta kepada Allah SWT. Kewarakannya boleh dilihat daripada sejarah hidupnya.

Sebelum bertemu jodoh dengan Fatimah, pada suatu hari, seperti biasanya beliau duduk di tepi sungai bertafakur. Kemudian perutnya terasa sangat lapar kerana sudah lama tidak makan. Kebetulan waktu itu dilihatnya sebiji epal sedang terapung-apung di sungai. Lalu diambilnya dan dimakan. Semasa sedang mengunyah, maka teringatlah dia bahawa epal tersebut tanpa meminta izin daripada pemiliknya terlebih dahulu.

Atas rasa takut kepada Allah SWT, Abu Saleh menyusuri hulu sungai tersebut semata-mata untuk mencari tuan punya epal itu bagi mminta maaf(halal). Setelah berhari-hari berjalan tanpa sebarang bekalan makanan, akhirnya Abu Saleh menjumpai sebatang pokok epal dan yakinlah dia bahawa epal yang dimakan tempoh hari adalah dari pokok itu. Tanpa membuang masa, Abu Saleh terus pergi berjumpa dengan tuan punya pokok itu, iaitu Abdullah Saumi yang berketurunan Imam Hussin r.a.

Abdullah Saumi mengenali kewarakkan Abu Saleh dan berkeyakinan beliau dari keturunan yang baik. Melihat perangai dan akhlak Abu Saleh yang begitu luhur dan mulia, Abdullah Saumi telah jatuh hati dan tidak sanggup berpisah dengan pemuda itu. Lalu Abdullah Saumi membuat halah akan memaafkan kesalahan Abu Saleh tetapi dengan bersyarat. Syaratnya, Abu Saleh mesti berkhidmat dengan beliau selama 12 tahun untuk menguruskan kebun epalnya. Abu Saleh telah mematuhi hukuman itu dan bekerjalah ia dengan taat selama tempoh tersebut.

TIDAK PERNAH MEMANDANG LELAKI BUKAN MUHRIM

Setelah 12 tahun, Abdullah Saumi mengadakan syarat lagi bahawa beliau rela memaafkan kesalahan Abu Saleh sekiranya Abu Saleh sanggup mengahwini anak perempuannya yang buta matanya, pekak telinganya dan lumpuh kedua belah tangan dan kakinya. kemudian mereka mesti tinggal di situ selama dua tahun lagi bagi membolehkan baliau melihat cucunya. Syarat tersebut sungguh berat, tetapi demi mencari keredhaan Allah, diturutinya juga.

setelah diakad nikah maka masuklah Abu Saleh ke dalam bilik anak perempuan Abdullah Saumi yang sudah sah menjadi isterinya. Alangkah terkejutnya Abu Saleh apabila mendapati wanita yang berada di hadapannya mempunyai rupa paras yang sangat jelita dan tidak cacat. Lantaran itu, tidak mahu didekatinya kerana disangka bukan isterinya.

Abu Saleh segera menjumpai Abdullah Saumi. Akhirnya orang tua itu menerangkan hakikat kata-katanya kepada Abu Saleh.

"Aku katakan anak perempuanku itu buta matanya kerana dia tidak pernah memandang lelaki yang bukan muhrimnya, pekak telinganya kerana tidak pernah mendengar kata-kata yang tidak benar, lumpuh kedua-dua tangannya kerana tidak pernah menyentuh perkara-perkara yang diharamkan, dan lumpuh kedua-dua kakinya kerana tidak pernah melangkah ke tempat-tempat mungkar."

Selepas itu barulah Abu Saleh mahu menyentuh isterinya. Sehingga lahirlah anaknya, Syeikh Abdul Qadir Jailani yang menjadi ketua para wali.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...